Sunday, October 11, 2009

PROGRAM PENGURUS KEDIAMAN ADALAH ALTERNATIF BAGI SEDIA KHIDMAT PENGASUH PROFESSIONAL TEMPATAN

KUCHING: Pelaksanaan Program Pengurus Kediaman (PPK) merupakan alternatif bagi penyediaan khidmat pengasuh profesional tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan tenaga pembantu rumah warga asing.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Noriah Kasnon berkata idea program itu tercetus untuk menampung keperluan mempelopori sektor perkhidmatan seterusnya mengoptimumkan guna tenaga warga tempatan.

Dalam pada masa yang sama, Noriah memberitahu, ia dapat membantu meningkatkan kemahiran di samping menjana pendapatan wanita berpendapatan rendah.

Menurut beliau, program berkenaan dapat membantu golongan wanita bekerja mendapatkan khidmat pengurus kediaman tempatan yang lebih memahami keperluan serta budaya masyarakat Malaysia.

“Pengurus kediaman yang diperkenalkan amat berbeza jika dibandingkan dengan pembantu rumah warga asing.

“Mereka bukan sahaja menguruskan hal penjagaan anak dan kerja-kerja rumah tetapi juga bertindak sebagai penyelia rumah tangga dalam mengurus, menyelia dan memastikan keperluan dilaksanakan dengan baik,” katanya ketika melancarkan PPK peringkat kebangsaan di sini semalam.

Sehubungan itu, Noriah memberitahu mereka yang diambil bekerja akan diberi latihan secukupnya agar dapat memberi perkhidmatan terbaik.

“Peserta akan diterapkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang selaras dengan skop kerjaya, ceramah teoritikal serta kursus berbentuk praktikal.

“Ia bertujuan melatih peserta agar lebih memahami konsep sebenar kerjaya ini dan bersedia menghadapi cabaran dalam melaksanakan tugasan ini,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Noriah memberitahu kerjaya sebagai pengurus kediaman mempunyai potensi luas memandangkan permintaan tinggi dalam perkhidmatan tersebut.

“Penawaran terhadap kerjaya ini akan memenuhi permintaan ibu bapa agar anak mereka diasuh serta dijaga warga tempatan yang lebih memahami adat budaya dan tatasusila masyarakat kita sendiri.

“Keselamatan anak-anak dan kediaman juga lebih terjamin kerana pengurus kediaman adalah terlatih dan diiktiraf,” ujarnya.

Ketika diminta mengulas mengenai kadar bayaran gaji pengurus kediaman, Noriah berkata gaji minimum yang dicadangkan sebanyak RM830 pada kadar pendapatan melebihi paras kemiskinan.

Bagaimanapun, beliau mengatakan perbincangan terperinci mengenai kadar itu akan diperhalusi sebelum keputusan muktamad ditetapkan.

Sementara itu, Noriah menjelaskan kehadiran pembantu rumah asing sering mencetuskan pelbagai isu kritikal, memandangkan mereka berasal dari latar belakang sosiobudaya yang berbeza.

“Kita khuatiri anak-anak terpengaruh dengan budaya seperti dari segi percakapan dan budi bahasa yang bercanggah dengan nilai kekeluargaan menyebabkan kerenggangan hubungan antara ibu bapa dan anak” katanya.

Hadir sama Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Sumber Manusia dan Latihan) Datin Fatimah Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Dato’ Dr Noorul Ainur Mohd Nur, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Dato’ Aminah Abdul Rahman, Pengarah Biro Wanita Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak Norjanah Razali serta ketua-ketua jabatan.

No comments:

Post a Comment